Thursday, June 16, 2011

T a r a n n u m . d i . s i s i . u l a m a


Malaysia mendahului negara Islam lain dalam menganjurkan tilawah al-Quran. Pada tahun ini ia merupakan kali yang ke 53, bermaksud sudah lebih 50 tahun Malaysia dikenali seantero dunia Islam dalam penganjuran tilawah.
Banyak negara Islam lain mengikut jejak langkah Malaysia dengan penganjuran musabaqah yang dijadikan program tahunan. Antaranya Arab Saudi, Iran, Libya, Maghribi, Mesir dan lain-lain. 
Fenomena ini sedikit sebanyak adalah perkembangan yang baik untuk mendekatkan masyarakat Islam kepada al-Quran.
Mukjizat al-Quran sebagai kitab hidayah atau petunjuk untuk seluruh umat manusia dalam melangsungkan kehidupan di dunia merangkumi perundangan, susun atur kalimah, gaya bahas, penulisan dan juga pembacaannya.
Semua perkara tersebut tidak dapat ditandingi atau diatasi oleh seluruh makhluk. Itulah ketinggian al-Quran yang merupakan kalamAllah SWT.
Jika ditinjau pendapat ulama berhubung tarannum al-Quran kebanyakannya memberi dua hukum iaitu makruh dan harus.
Sheikh Khalil al-Husari dalam kitabnya bersama al-Quran menyatakan, golongan yang berpegang kepada makruh tarannum al-Quran antaranya adalah Anas Ibn Malik, Said Ibn Musayyab, Said Ibn Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibn sirin dan lain-lain.
Sementara itu, ulama yang menyatakan harus bertarannum dan memperelokkan suara ketika membaca al-Quran antaranya ialah Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Mas'ud, Ata' Ibn Abi Rabah, Abu Hanifah, Imam Syafei dan pendapat ini juga dipilih oleh Imam al-Tabari dan lain-lain. 
Hujah bagi yang menyatakan makruh bertarannum adalah diriwayat daripada Said Ibn Musayyab bahawa beliau mendengar Umar Ibn AbdulAziz mengimamkan solat dengan melagukan suara ketika membaca surah lalu Said Ibn Musayyab mengirim utusan kepadanya seraya berkata semoga Allah memberi kebaikan kepada kamu sesungguhnya para imam tidak membaca begitu, lalu Umar meninggalkan amalan tersebut. 
Seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad tentang hukum melagukan al-Quran.
Imam Ahmad bertanya siapa nama kamu? Lelaki itu menjawab Muhammad. Imam Ahmad berkata: "Apakah kamu suka jika kamu dipanggil Muuuuhamaaaad dengan memanjang suaranya? Dengan maksud merosakkan makna nama yang mulia tersebut?" 
Adapun hujah yang mengatakan harus bertarannum adalah Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Zad al-Ma'adBeliau menyatakan bahawaAbdulrahman Ibn al-Aswad Ibn Yazid mencari dan memilih suara yang bagus dalam masjid di bulan Ramadan.
Al-Tahawi pula menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah dan para sahabatnya mendengar al-Quran yang dibaca dengan berlagu.
Muhammad Ibn Abdul Hakim pula menyatakan bahawa: "Aku melihat Imam Syafei dan Yusuf Ibn Umar mendengar al-Quran yang dibaca secara bertarannum." 
Terdapat hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan al-Nasaie yang menuntut supaya menghiasi al-Quran dengan suara.
Hakikatnya Rasulullah SAW sendiri amat menyukai suara yang merdu membaca al-Quran.
Aisyah r.a pernah menceritakan bahawa: 
"Satu ketika aku lambat pergi kepada Rasulullah SAW selepas solat Isyak lalu Baginda bertanya: ke manakah kamu sebentar tadi? Aisyah menjawab: Aku terlambat kerana mendengar seorang sahabat kamu membaca al-Quran dan belum pernah aku mendengar orang membaca al-Quran semerdu suaranya. Lalu Rasulullah SAW bangkit bersamaku dan mendengarnya seraya Rasulullah SAW berpaling kepada ku dan bersabda: Dia adalah Salim Maula Abi Huzaifah. Segala puji bagi Allah yang menjadikan orang seperti ini di kalangan umatku," (riwayat Ibn Majah). 
Sempena Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 13 hingga 17 Mei ini, diharap para peserta memberi persembahan yang terbaik dengan mengambil kira hukum tajwid yang diutamakan.
Mereka juga perlu memahami maksud ayat yang dibaca dan menyesuaikan rentak tarannum yang dialunkan. Kepada pendengar pula ambil peluang dengan menikmati alunan suara al-Quran dan menghayati maksud al-Quran yang dipaparkan bersama alunan tarannum.

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...