Sunday, March 13, 2011

Alahan Susu Lembu - Lain Sakit Lain Ubatnya.


Bukanlah semua pandangan doktor adalah benar dan bukanlah semua pandangan doktor adalah salah. Ada pandangan doktor boleh diamalkan tetapi memang ada pandangan dari doktor ini kena buang secara total.

Apabila doktor mengatakan bahawa diabetes tidak boleh diubati atau dipulihkan, pandangan ini boleh didengar tetapi tidak boleh dipakai. Sedangkan Allah SWT telah menyatakan bahawa setiap penyakit ada ubatnya melainkan tua dan mati. Jikalau ada yang bersungguh-sungguh untuk pulih dari diabetes,  redhalah untuk menjadi orang Islam yang lebih baik,  dengarlah dan amalkanlah nasihat dan insya-Allah diabetes boleh pulih.

Apabila doktor mengatakan alahan kepada susu lembu, pandangan doktor ini boleh didengar tetapi tidak boleh dipakai. Dalam bab alahan kepada susu lembu ini, Allah sebenarnya tidak pilih kasih kepada kanak-kanak.  Allah menjadikan lembu yang bersaiz besar boleh menghasilkan susu yang banyak adalah untuk manfaat kepada manusia. Banyak khasiat Allah berikan melalui susu lembu ini untuk kesihatan manusia.

Dalam beberapa artikel yang lalu, seperti Susu penuh lemak tingkatkan peluang hamil ,   Penyakit moden - penyakit berkaitan sistem pernafasan (PBSP) saya ada bercerita tentang khasiat yang dijadikan Allah melalui susu lembu untuk merawat masalah berkaitan sistem pernafasan.

Kanak-kanak yang telah disahkan oleh doktor sebagai alahan kepada susu lembu yang akhirnya telah sihat walafiat, itulah sebabnya saya mengatakan bahawa apabila doktor berkata bahawa “anak tuan alahan kepada susu lembu”, dengarlah pesanan tersebut tetapi jangan dipakai.

Anak yang menghadapi Penyakit moden - penyakit berkaitan sistem pernafasan (PBSP) insya-Allah boleh dirawat hanya dengan mengamalkan pantang larang  dan meminum susu lembu.). Insya-Allah jika diperhatikan hujung jari tangan warnanya agak kebiruan sedangkan hujung jari orang yang sihat warnanya adalah kemerahan. Warna kebiruan mengesahkan bahawa mereka ini menghidap Penyakit moden - penyakit berkaitan sistem pernafasan (PBSP). Warna kebiruan adalah disebabkan oksigen yang dibawa oleh darah kesetiap bahagian tubuh badan tidak mencukupi akibat dari paru-paru yang bermasalah.

Bagaimana atau mengapa paru-paru bermasalah? . Dirumuskan sebagai faktor-faktor yang merosakkan paru-paru atau sistem pernafasan iaitu:

  1. Minum air batu
  2. Mandi malam
  3. Tidur di bawah kipas yang laju atau penghawa dingin
  4. Makan banyak makanan seperti belacan, udang, kerang, ketam, sotong, rojak petis, cencaluk, budu dan makanan yang sewaktu dengannya.
  5. Bekerja di kawasan yang banyak melakukan kerja kimpalan juga merosakkan sistem pernafasan.
  6. Bekerja di kilang yang menghasilkan printed circuit board (PCB) juga merosakkan paru-paru.
  7. Kerja shift malam
  8. Menghisap rokok.

Selain dari punca-punca sebagaimana di atas, menghidu barangan asbestos atau mendiami kawasan berhampiran kilang asbestos juga amat merbahaya kepada paru-paru.

Bagi kes anak yang baru berusia 2 tahun, mengapakah paru-parunya sudah bermasalah? Jika di amati segala faktor-faktor merosak paru-paru sebagaimana 8 + 1 diatas, kemungkinannya segala faktor di atas tidak berlaku ke atas kanak-kanak ini. Bagi kanak-kanak, punca kerosakan paru-paru atau sistem pernafasan mereka selalunya adalah faktor nombor 3 di atas iaitu tidur di bawah kipas yang laju atau penghawa dingin. Namun demikian, faktor ini hanya akan menyebabkan kerosakan pada paru-paru atau sistem pernafasan selepas satu tempoh waktu seperti usia kanak-kanak 3 – 4 tahun sahaja.

Punca lain yang kerap menjadi penyebab kerosakan paru-paru atau sistem pernafasan bayi atau kanak-kanak pada usia awal ialah sebenarnya akibat air susu ibu atau susu formula yang memasuki paru-paru. Ibu-ibu selalu diajarkan untuk mengeluarkan angin (macam sendawa) bayi mereka selepas bayi ini disusukan dengan menggosok belakang dada sehingga bayi ini keluar angin dari mulut beberapa kali. Amalan ini adalah sangat penting kerana sekiranya angin ini tidak dikeluarkan, angin ini akan menyebabkan bayi ini muntah. Dalam posisi bayi yang terlentang, muntah adalah amat merbahaya kerana sebahagian muntah ini boleh memasuki paru-paru melalui hidung. Muntah yang memasuki paru-paru memanglah amat merbahaya dan boleh menyebabkan berbagai masalah kronik seperti pneumonia selain kerap batuk dan selsema.

Itulah sebabnya sebahagian ibu bapa meletakkan bayi mereka pada posisi meniarap dengan mengiringkan mukanya sama ada ke kiri atau ke kanan. Pada posisi ini, sekiranya bayi muntah, ia akan dikeluarkan terus dari mulut tanpa takut muntah ini akan memasuki hidung.

Air yang tertumpah ke dada bayi mudah dikeringkan dengan mengelapnya tetapi muntah yang memasuki paru-paru bagaimana untuk mengeringkannya? Allah SWT yang menjadikan manusia amat mengetahui masalah-masalah yang bakal dihadapi oleh manusia. Allah telah menjadikan susu lembu untuk membantu manusia menangani masalah paru-paru termasuk masalah muntah bayi yang memasuki paru-paru. Apabila terdapat sebarang bendasing di dalam paru-paru seperti muntah dan sebagainya, dengan meminum susu lembu, Allah SWT melalui sunnatullahNya (kelazimanNya) menyebabkan silia yang terdapat di permukaan sistem pernafasan / paru-paru menolak bendasing ini untuk dikeluarkan sebagai kahak berlendir yang boleh ditelan semula untuk masuk ke perut atau dibatukkan untuk keluar melalui mulut.

Bagi orang dewasa, mengeluarkan kahak melalui batuk atau menelannya masuk ke perut adalah perkara mudah dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Namun bagi bayi dan kanak-kanak kecil, kahak ini memang menimbulkan masalah dan dalam kebanyakan kes kanak-kanak akan muntah untuk mengeluarkan kahak ini. Muntah sekali-sekala untuk mengeluarkan kahak adalah baik namun muntah yang kerap boleh menimbulkan masalah lain termasuk masalah kehilangan air dan makanan dari badan selain menyebabkan keadaan tidak selesa.

Bagi bayi yang terdapat banyak bendasing di dalam paru-paru / sistem pernafasan, apabila mereka minum banyak susu ibu atau susu lembu, kuantiti kahak yang dikeluarkan juga akan menjadi banyak. Di sinilah akan timbul masalah yang lebih kritikal dimana kahak yang banyak ini akan menyebabkan bayi ini sesak nafas. Keadaan kritikal ini akan menyebabkan bayi semakin kuat menangis. Kahak yang banyak di dalam paru-paru / sistem pernafasan mengakibatkan bunyi tertentu dan bunyi ini boleh mudah didengar menggunakan stetoskop doktor.

Bagi mengatasi masalah kahak yang banyak sehingga menyukarkan bayi bernafas, ramai doktor mengambil jalan mudah dengan mengisytiharkan bayi adalah alah kepada susu lembu lalu menasihatkan ibu bapa menggantikan susu formula berasaskan susu lembu kepada susu formula berasaskan kacang soya. Memanglah dengan menukar susu formula susu lembu kepada susu formula kacang soya dapat menyelesaikan sesak nafas bayi ini disebabkan kahak / lendir yang banyak namun adakah ini suatu perkara yang bijak?? Berhenti dari mengambil susu formula susu lembu akan menyebabkan silia di dalam paru-paru / sistem pernafasan berhenti menolak keluar bendasing dari paru-paru / sistem pernafasan. Lebih lama bendasing berada di dalam paru-paru menyebabkan lebih merbahaya kerana ini boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif termasuk jangkitan.

Kini timbul konflik, minum susu formula susu lembu menyebabkan kahak banyak sehingga sesak nafas, jikalau ambil susu formula kacang soya, banyak khasiat di dalam susu lembu tidak dapat dibekalkan kepada bayi dan kahak tidak dapat dikeluarkan dari tubuh. Jika di amati dengan lebih teliti, bayi yang mengambil susu formula kacang soya dalam tempuh yang lama memang jauh kurang sihat berbanding bayi yang mengambil susu formula susu lembu.

Jalan penyelesaian dalam konflik ini ialah teruskan memberi susu formula susu lembu kepada bayi namun kuantiti yang diberikan dikawal agar tidak terlalu banyak sekali gus. Memberikan susu formula susu lembu dalam kuantiti yang sedikit secara berterusan adalah lebih baik agar kahak dapat terus dikeluarkan dari paru-paru / sistem pernafasan. Dengan memberikan susu formula susu lembu yang sedikit menimbulkan masalah lain di mana bayi menangis kerana lapar. Susu formula kacang soya bolehlah diberikan antara pemberian susu formula susu lembu.

Kawallah kuantiti susu formula susu lembu sekadar kahak yang dikeluarkan mampu ditangani oleh bayi dan tidak menyesakkan pernafasannya. Bila kuantiti kahak sudah kelihatan berkurang, tambahlah kuantiti susu formula susu lembu dan kurangkanlah susu formula kacang soya. Apabila bayi boleh bertahan dengan pengambilan susu formula susu lembu semata-mata, maka situasi paru-paru / sistem pernafasan bayi ini alhamdulillah semakin pulih.

Terdapat satu kes dua beradik seorang berusia 2 tahun dan seorang lagi 6 tahun disahkan kedua-duanya oleh doktor sebagai alahan kepada susu lembu semenjak sekian lama dan setelah mengamalkan amalan terus minum susu lembu, alhamdulillah kedua-dua beradek ini jauh lebih sihat berbanding dahulu.

Diharapkan dengan penjelasan ini dapat mengungkap persoalan mengapa di awal artikel ini saya menyangkal apabila doktor mengatakan alahan kepada susu lembu. Pandangan doktor ini boleh didengar tetapi tidak boleh dipakai. Kahak berlendir yang dimuntahkan oleh bayi atau kanak-kanak kecil adalah antara pelbagai rahmat dari Allah SWT semoga bendasing di dalam paru-paru / sistem pernafasan dapat dikeluarkan dari tubuh. Proses pengeluaran kahak dari paru-paru / sistem pernafasan banyak dirangsang apabila kita meminum susu lembu.

Namun apa yang sangat perlu diambil perhatian ialah susu lembu yang dapat merangsang pengeluaran kahak adalah susu lembu dari jenis full cream, susu lembu segar dan yang sewaktu dengannya dan bukan susu rendah lemak (low fat milk, high low, no fat milk) dan bukan susu anlene kerana anlene dibuat dari susu rendah lemak.

Jika anak sekadar muntah selepas menyusu, biarkanlah kerana ia adalah mekanisme sihat untuk mengeluarkan lendir dari tubuh. Waktu malam dan pagi adalah waktu di mana banyak kahak dikeluarkan. Namun pastikan juga anak tidak tidur di bawah kipas yang laju, penghawa dingin, minum air batu atau air yang sejuk, aiskrim dan mandi malam kerana ini hanya bakal mengundang masalah berkaitan sistem pernafasan termasuk asma.

Sekian wassalam wallahuaqlam.

++ Sumber rujukan dari Laman Emjay
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...